Jubah Serban Al-Arqam, Kelab Malam dan Naelofar Hijab
Kalau sesiapa yang hidup zaman 70-an sampai 90-an, pasti pernah dengar nama kumpulan Al-Arqam. Satu pergerakan yang bukan saja terkenal dengan dakwah agama. Tapi juga dengan kehebatan cara ahli-ahlinya berbisnes.
Al-Arqam ni ada berpuluh-puluh cabang bisnes. Salah satunya adalah dalam bidang hiburan. Mereka ada studio rakaman sendiri lengkap dengan sistem bunyi terbaik. OVA Production namanya. Dan mereka juga ada kumpulan nasyid sendiri. Nada Murni.
Pada zaman kegemilangan Al Arqam ni, Nada Murni selalu buat persembahan. Dan salah satu lokasi yang mereka buat adalah kelab malam. Ya, kelab malam disko tu.
Lengkap dengan berserban dan berjubah, kumpulan Nada Murni ni tenang saja menyanyi nasyid di bawah kilauan lampu lip lap lip lap warna warni disko. Satu benda yang cukup “rare” ketika itu.
Ada yang kutuk tindakan Nada Murni ni. Tapi Al Arqam macam biasalah. Pergerakan ni mana ambil endah kutukan orang luar semenjak dari penubuhannya.
Tujuan Al Arqam nak sampaikan mesej agama ke tempat yang orang agama lain tak mahu pergi. Kemudian, boleh juga jual kaset. Dan naikkan nama Nada Murni dalam industri. Tak dinafikan, ada penyanyi kelab malam atau pengunjung kelab malam kemudiannya menjadi sebahagian dari ahli pergerakan ni.
Hampir 20 tahun episod ni dah berlalu. Timbul pula kisah Neelofa sambut harijadi dan lancarkan tudung terbarunya di kelab malam.
Mungkin Neelofa yang pernah diangkat oleh majalah bisnes berpengaruh, Forbes sebagai “30 Under 30 Asia 2017” mahu memberi nafas baru “marketing strategy” yang pernah dibuat oleh Al Arqam.
Cuma yang berbeza, geng kumpulan nasyid Nada Murni yang berjubah dan berserban tak adalah berjoget seperti mana geng bertudung Naelofar. Mungkin sebab tulah Nada Murni masih lagi disanjung hingga kini. Manakala tudung Naelofar pula sudah ada suara-suara nak boikot katanya.